Ketahui tanda-tanda bersalin dan apa yang akan doktor lakukan bagi
memastikan tubuh anda bersedia untuk proses kelahiran.
Di penghujung kehamilan, setiap ibu hamil akan melalui beberapa tanda
yakni petunjuk bahawa masa untuk melahirkan sudah hampir tiba. Ramai yang cemas
dan tertanya-tanya apakah tanda yang dialami benar-benar tanda bersalin atau
sebaliknya. Oleh yang demikian, anda perlu ketahui bahawa hanya terdapat tiga
tanda bersalin. Tanda-tanda yang
dimaksudkan ialah:
1. Show
Ini merupakan tanda awal bersalin. Kebiasaannya dalam bentuk lendir
ataupun darah. Jika mengalami tanda ini, anda tidaklah perlu tergesa-gesa
bergegas ke hospital. Hal ini kerana tanda sebegini mengambil masa hampir
beberapa hari sebelum anda perlu melalui proses bersalin.
2. Kontraksi
Dalam keadaan ini, perut anda akan menegang setiap 10 minit. Paling
kerap ialah pada kadar 20 saat bagi setiap kontraksi. Bagi kontraksi sebenar,
kekerapannya perlulah konsisten, kerap dan bertambah kuat dari semasa ke
semasa. Apabila anda melalui kontraksi sebegini, seharusnya anda perlu segera
ke hospital untuk mendapatkan pemantauan doktor. Walau bagaimanapun jika hal
yang sebaliknya berlaku, (sebagai contoh anda mengalami kontraksi pada kadar 10
minit, kemudian 45 minit, selanjutnya 5 minit) perlu diingatkan keadaan
sebegitu bukanlah kontraksi.
3. Air ketuban pecah
Kebiasaannya keadaan ini berlaku apabila ada pancutan air yang keluar
dalam jumlah yang banyak. Perlu anda perhatikan, air yang keluar seharusnya
jernih dan tidak berwarna. Namun, jika air itu berwarna hijau, itu menandakan
bayi sudah pun membuang air besar ketika masih berada dalam kandungan. Apabila
mengalami tanda seperti ini, sebaik-baiknya anda perlu segera berangkat ke
hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana jika dibiarkan berlanjutan boleh
menyebabkan jangkitan kuman.Kebanyakan wanita hamil keliru dengan perbezaan air
ketuban dan air kencing. Bagi mengetahui sama ada, ketuban pecah ataupun tidak,
untuk pengetahuan anda, air ketuban keluar tanpa anda mengalami rasa ingin
membuang air kecil.
Amaran!!!
Walaupun ketiga-tiga tanda ini merupakan petanda awal bersalin, namun
anda tetap perlu segera ke hospital sekiranya mengesyaki bayi kurang bergerak.
Dibimbangi bayi lemas dalam kandungan. Dalam masa 12 jam, bayi perlu
sekurang-kurangnya 10 kali bergerak. Jika secara tiba-tiba, anda mendapati bayi
kurang bergerak segeralah ke hospital walaupun tidak mengalami tanda awal
bersalin.
Rutin pemeriksaan
1. Vaginal examination
Pemeriksaan ini penting bagi mengetahui sama ada ibu hamil sudah
benar-benar bersedia untuk proses kelahiran ataupun tidak. Biasanya,
pemeriksaan ini dilakukan setiap dua hingga empat jam. Apabila semakin hampir
10 cm, pemeriksaan lebih kerap dilakukan.
2. Cardiotopograph
Pemeriksaan yang turut dikenali sebagai CTG ini dilakukan untuk
memeriksa kekerapan kontraksi.
3. Pemeriksaan tekanan darah
Pemeriksaan ini penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak
diingini sewaktu proses kelahiran.
4. Palpation
Doktor akan memegang dan memeriksa kedudukan bayi di abdomen ibu bagi
mengetahui kedudukannya normal ataupun sebaliknya.
Proses kelahiran
1. Dari permulaan pembukaan pangkal
rahim sehingga 10 cm
Dalam pada itu, peringkat ini terbahagi kepada dua:
- Senyap (latent)
Pada peringkat ini pangkal rahim akan mula menipis dan membuka sehingga
3 cm.
Ia mengambil masa yang lama. Malah, ada yang mengambil masa sehingga
beberapa hari. Biasanya jika anda mengalami tanda show dan serviks tidak
terbuka, doktor biasanya akan mengizinkan anda pulang ke rumah.
- Aktif
Peringkat ini bermula apabila serviks mencecah 3 cm. Inilah masanya anda
ditahan di bilik bersalin. Proses pembukaan serviks akan bermula pada kadar
yang cepat. Biasanya ia mengambil masa antara lapan jam (anak pertama) dan
empat jam (lebih daripada seorang anak). Semakin ramai bilangan anak, semakin
cepat serviks membuka. Kontraksi turut menjadi semakin kerap. Pada suatu
ketika, kontraksi berlaku setiap 3 minit dan paling akhir setiap 40 saat.
2. 10 cm sehingga bayi keluar
Bagi kelahiran anak pertama, ia mengambil masa paling maksimum sejam
untuk melahirkan anak. Walau bagaimanapun, jika anda tidak melahirkan anak
selepas sejam, doktor akan menggunakan alat bantuan seperti vakum atau forsep.
Jika masih gagal, pembedahan segera akan dilakukan. Hal ini perlu kerana kepala
bayi sudah pun berada di dalam tulang pelvis. Jika terlalu lama bayi akan
kekurangan oksigen dan dikhuatiri berlaku komplikasi yang lain pula.
3. Uri dikeluarkan
Walaupun bayi telah selamat dikeluarkan dari rahim, namun mengeluarkan
uri adalah lebih penting kerana jika tidak dilakukan dengan sempurna boleh
membahayakan nyawa ibu. Doktor akan memberi ubat yang dikenali sebagai syntometrine
bagi mengecutkan rahim. Setelah itu, uri dikeluarkan menggunakan kaedah control
cord traction. Cara ini dapat mengurangkan risiko tumpah darah.
Info
Ubat membuang najis
Ubat yang biasanya diberi kepada ibu hamil sebaik tiba di bilik bersalin
dikenali sebagai enema. Suatu ketika dahulu, mereka memang digalakkan
menggunakan ubat ini tetapi pada hakikatnya ia tidak bagus kerana boleh
melukakan dubur. Namun, jika tidak diberi pula, dikhuatiri najis akan keluar
bersama ketika proses meneran. Untuk itu, doktor akan memberi enema dalam
jumlah yang kecil, biasanya glycerine. Ubat ini dapat memberikan
keselesaan kepada anda dan paling penting tidak melukakan dubur. Namun, jika
anda memaklumkan sudah membuang air besar ataupun mengalami cirit-birit, ubat
ini tidak akan diberi.
Menyentuh
tentang situasi bersalin di dalam tandas, hal ini biasanya berlaku kepada ibu
yang beranak ramai. Ini kerana kontraksi yang dialami tidak lagi sekuat ibu
yang hamil anak sulung. Oleh kerana itulah masalah ini jarang berlaku kepada
ibu yang pertama kali melahirkan. Sehubungan itu, rasa kontraksi dan gesaan
membuang air besar adalah sama. Jadi, berhati-hatilah jika anda keliru. Untuk
kepastian, segeralah ke hospital.
mmg teruja bila lendir darah kuar.. dlm masa yg sama takut gak.. alhamdulillah, sakit bsalin kejap je.. dpt bb boy lagik.. hehe..
ReplyDeletebila bb dah keluar hilang rasa sakit pabila dapat menatap wajah anak
ReplyDelete